Assalamualaikum...
selamat pagi semua..
apa khabar? waras?
maaf sgt2 sebab lama sangat fyza tak mengupdate blog..
kamu2 tau tak bahawa cintu tu ada kat mana2 je?
Subhanallah..Indahnya cinta..
ok.. entry kali ni fyza cedok sikit dari iluvislam
Semalam di pasaraya. Tempat sesak, ramai sekali manusia berpusu-pusu di dalamnya. Masing-masing ada tujuan dan destinasi tersendiri. Ada yang berseorangan. Lebih ramai yang datang berpasangan. Kebanyakan daripada mereka datang berkumpulan, dengan keluarga atau teman-teman.
Matanya asyik memerhati gelagat dan telatah orang-orang yang lalu lalang. Dia selalu begitu, matanya suka memerhati. Bukan untuk mengintai aib orang tetapi dia suka melihat gelagat manusia, terutama di tempat ramai dan terbuka. Cuba menilai dan mengambil pengajaran.
Tersenyum dia melihat babak yang cukup menyentuh hatinya. Troli masih ditolaknya. Namun kakinya memperlahankan langkah. Sementara sahabatnya masih ralit memilih roti untuk dibeli. Dia pula asyik memerhati pasangan yang sedang berjalan melintasinya dari kiri.
Pasangan datuk dan nenek berjalan berpimpingan tangan, bersenda mesra. Ada bahagia pada wajah dan gerak geri mereka. 'Bahagia yang semulajadi', dia dengar suara hatinya menyakinkan. Bahagia yang bukan dibuat-buat, bahagia yang tulus dari cerminan hati keduanya.
Entah apa usikan datuk itu sehingga kedengaran tawa si nenek yang masih erat tangannya dalam genggaman. Perlahan tawa si nenek, tapi cukup membangkitkan rasa bahagia untuk mereka dan dia yang sedang 'mengintip' mereka. Ada CINTA di hati mereka. Mereka berlalu pergi. Tangan keduanya masih erat dalam genggaman. Mereka tersenyum, dan dia juga turut tersenyum. Semoga mereka terus berCINTA hingga ke syurga.
Melepaskan pandangan daripada pasangan romantik yang telah berlalu pergi, dia dikejutkan pula dengan tangisan kuat seorang kanak-kanak lelaki yang berusia dalam lingkungan lima tahun tidak jauh dari tempat dia berdiri. Anak kecil itu berlari lalu memeluk kaki seorang lelaki yang sedang berdiri berdekatannya, betul-betul di hadapannya.
Dalam esakan si anak bercerita, rupanya lelaki yang dipeluknya adalah si ayah. "Tadi terjatuh, sakit", cerita si anak dalam sedu sedan. Lalu si ayah tunduk memeluk anaknya dalam dakapan, ditepuk mesra belakang si anak, memujuk. Anak kecil itu kelihatan tenang dalam pelukan ayahnya, lalu esak tangis mengendur, perlahan. Ada CINTA di hati si ayah.
Lenguh berdiri, dia menyorong troli ke food court. Lalu dia duduk, kakinya agak lenguh kepenatan. Bertentangan dengan mejanya, sebuah keluarga sedang asyik menjamu selera. Matanya tertancap pada si kecil, perempuan berusia sekitar lima tahun, bertudung litup. Comel! Tapi wajahnya tidak kelihatan jelas, kerana si kecil menundukkan muka ke meja.
Dia perhatikan pula si kakak yang berada di sebelah adiknya, tidak jauh beza umurnya yang juga bertudung litup. Si kakak membisikkan sesuatu kepada adiknya sambil menunjuk makanan yang terhidang. Rupa-rupanya si adik sedang merajuk dan si kakak pula sedang memujuk. Sesekali si kakak berbisik lagi sambil menepuk lembut bahu si adik, memujuk tanpa putus asa. Ada CINTA di hati anak itu.
Subhanallah, indahnya CINTA. Ia ada di mana-mana. Cinta punyai kuasa yang cukup hebat, dahsyat. Cinta suami pada isteri, cinta ayah ibu kepada anak, cinta kakak kepada adik, cinta sahabat kepada sahabatnya. Banyak, luas, kaya sungguh manusia dengan cinta.
Lalu dia teringat, kisah cinta yang cukup agung. Insan ini mencintai dan merindui saudaranya yang berada di sisinya, juga yang tidak pernah Baginda jumpa. Bahkan bermula dari hidupnya, sehingga saat Baginda hampir menghembuskan nafas terakhir, masih lagi cintanya segar mekar untuk mereka yang dikasihinya.
Kerapkali menitis airmatanya mengenang nasib insan-insan kesayangannya sehingga ke akhir hayatnya, tetap Baginda meminta untuk mengetahui nasib ummatnya, hingga akhirnya Baginda tenang mengetahui janji Allah untuk mereka.
Ada lagi cinta teragung, mengatasi segala cinta yang ada di dunia. Itulah cinta Allah, Pencipta kepada makhluknya. Terlalu banyak bukti cinta-Nya,
"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkan-Nya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." [al-Nahl: 18].
Dia sentiasa ada di sisi..
"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka). Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul." [Al-Baqarah : 186]
Dia memberi segalanya. Segalanya yang diperlukan oleh hambaNya. Walaupun seringkali pemberian-Nya dibalas dengan keingkaran, namun Dia tetap memberi dan memaafkan. Adakah lagi cinta sehebat dan seagung CINTA ini?
Dan dia teringat kembali kepada CINTA yang ditemuinya di pasaraya tadi, itu juga CINTA yang dititipkan oleh pemilik CINTA, Allah Sang Pencipta kepada hamba-Nya yang dikasihi. Dia menyorong troli, meninggalkan CINTA di pasaraya, dengan azam untuk memiliki CINTA Sang Pencipta, kerana hanya dengan memiliki CINTA Allah, dia akan memiliki segala-galanya..!
SUBHANALLAH...
::Indahnya Cinta pada Sang Pencipta:
p/s: jaga diri..sayang kalian...
Wassalam..
No comments:
Post a Comment