Dikisahkan dalam sebuah cerita, ada dua pasangan yang sedang bercinta. Bagaimanapun mereka ditimpa halangan yang sangat menduga kesabaran dan keutuhan perhubungan mereka.
Si lelaki seorang yang buta, cacat penglihatan. Sudahlah begitu, dia dibenci masyarakat kerana kecacatannya. Namun demikian, kekasihnya tetap menyintai dan menyayangi teman lelakinya itu seikhlas hatinya. Kekasihnya tidak mempedulikan apa kata-kata orang lain terhadapnya, hanya kerana dia bercinta dengan orang yang tidak sempurna anggota badan.
"Biarlah apa kata mereka, cinta kepada abang tak akan putus. Jangan kita kalah hanya kerana tekanan mereka yang dengki."
Ikrar si wanita.
"Terima kasih sayang. Abang berjanji, jika abang dapat melihat kembali, abang akan bawa adik hidup bersama-sama. Kita bina rumahtangga bahagia."
Itu janji si lelaki.
Doa si lelaki termakbul juga. Apa yang dihajati tercapai. Dia akhirnya mampu melihat dunia. Siapa yang tidak gembira bilamana nikmat yang selama ini tidak dapat dirasa, diperolehi semula. Dia berasa seolah-olah telah dilahirkan semula.
"Inilah masanya." Si lelaki teringat kembali janji yang dilafazkan kepada kekasih hatinya.
Alangkah terkejutnya. Betapa dia sangat-sangat tidak menyangka, kekasih yang selama ini dicintai dan mencintainya sepenuh hati itu rupa-rupanya seorang yang buta. Segala apa yang dia impikan umpama kaca yang telah hancur berkecai terhempas di atas batu. Sedih tidak terkata, kecewa dan hampa.
"Nampaknya doa abang sudah dimakbulkan. Syukur Alhamdulillah. Apakah abang masih sudi untuk menikahi saya?"
Soalan itu dirasakan seperti panahan petir. Sangat perit dan berbisa. Si lelaki amat terganggu dengan soalan tersebut.
"Kamu, tolong pergi dari sini. Pergi jauh-jauh, jangan biar aku nampak kamu, sampai bila-bila pun."
"Kenapa abang kata begitu?"
"Tolonglah, jangan tanya apa-apa lagi. Cukup jelas, aku katakan di sini, kau dan aku tiada apa-apa hubungan. Sekali lagi, tolong pergi dari sini!"
Si wanita, dalam terkilan dia cuba menelan segala apa yang diluahkan oleh insan yang pernah menyayanginya. hatinya berat untuk menerima, namun apakan daya, itulah harga yang terpaksa dibayar olehnya. Sebelum melangkah pergi, dia sempat berpesan kepada lelaki yang menghalaunya, dimulai dengan senyuman, dia berkata;
"Terima kasih atas apa yang telah abang berikan selama ini. Cuma satu yang saya pinta, saya harap abang jagalah mata saya sebaik-baiknya. Saya mohon undur diri."
No comments:
Post a Comment